Friday 31 October 2014

Tazkirah Jumaat

Assalamualaikum dan Salam Sayang buat semua

Sedikit tazkirah untuk dikongsikan bersama di pagi Jumaat yang mulia lagi penuh keberkatan.

Nikmatnya Waktu Sihat dan Masa Lapang
Kesihatan adalah suatu nikmat yang sangat diakui oleh semua orang. Sihat adalah suatu yang sangat bernilai dan begitulah juga sekiranya kita diberikan masa yang lapang oleh Allah S.W.T.

Marilah kita berbicara tentang hadith yang menyebut dua nikmat yang menyebabkan ramai manusia yang terpedaya, di mana kita akan rumuskan darinya beberapa pengajaran dan pedoman yang dapat membantu dalam hidup kita dari segi dakwah dan urusan duniawi. Dari Ibn Abbas r.a berkara, Rasulullah saw telah bersabda:

“Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa”.
[HR Bukhari].

Manusia dikurniakan Allah pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Nikmat itu diberi Allah secara percuma dan tidak dituntut kepada hamba-Nya membalas segala pemberian-Nya kerana sememangnya manusia tidak akan berupaya berbuat demikian.

Allah berfirman:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Manusia perlulah bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Tanda mensyukuri nikmat ialah memanfaatkannya kepada perkara kebaikan, manakala mengkufuri nikmat ialah menyalahgunakan nikmat Allah dengan mengundang kemurkaan-Nya.

Persiakan nikmat

Benar ucapan Rasulullah SAW itu kerana didapati ramai manusia yang dianugerahkan Allah nikmat kesihatan dan kelapangan masa tetapi mereka mensia-siakannya. Sebaliknya, mereka tenggelam dalam kelekaan dan keseronokan semata-mata.
Manusia mengira bahawa kesihatan dan kelapangan masa yang sedang dikecapinya adalah hal biasa-biasa saja dan tidak akan hilang. Padahal nikmat sihat dan masa lapang diberi Allah supaya Mukmin berlumba melakukan kebaikan dan amal soleh sebagai bekalan menuju akhirat.

Dalam keadaan sihat, ramai pula yang melakukan pelbagai perbuatan maksiat dan kejahatan tanpa merasa malu kepada Allah. Manusia seperti ini ternyata telah mengkufuri nikmat iaitu menggunakan anugerah Allah untuk menderhaka kepada-Nya.

Perlu diinsafi dan diingati bahawa manusia tidak selalu berkeadaan sihat. Masa sihat boleh bertukar kepada keadaan sakit kerana kedua-duanya adalah pemberian dan ketentuan Allah.

Jika sewaktu sihat seseorang Mukmin itu mensia-siakan ibadahnya kepada Allah dan beramal soleh, maka penyesalan akan menimpanya apabila ditimpa sakit kerana sewaktu sakit, segala ibadah dan kebajikan tidak mampu dilakukan.

Lebih malang lagi jika sakitnya berterusan dan Allah tidak mengembalikan semula kesihatannya, bermakna ia tidak lagi punya kesempatan untuk beribadah dan beramal soleh serta menebus dosanya yang lalu.

Nikmat kelapangan masa juga banyak dicuaikan manusia. Masa lapang sepatutnya dimanfaatkan untuk banyak mengingati Allah melalui pelbagai amal ibadah, mencari ilmu untuk kebaikan dunia dan akhiratnya serta memperelokkan akhlak.

Namun ramai manusia terpedaya dengan nikmat masa lapang. Masa lapang mereka berlalu begitu saja tanpa pengisian yang berfaedah atau aktiviti berunsur kebajikan. Jika dalam masa yang lapang pun mereka tidak mengingati Allah, apalagi dalam keadaan sibuk mengejar keuntungan dunia.

Tiada penghargaan terhadap nikmat kelapangan masa menyebabkan ramai manusia menghabiskan masanya secara sia-sia, sedangkan setiap detik masa terlalu berharga dan umurnya turut berlalu pergi begitu sahaja.

Nasihat ulama Ibnul Jauzi baik untuk dijadikan renungan bersama. Katanya: “
Terkadang manusia berada dalam keadaan sakit, tetapi ia tidak mempunyai kelapangan waktu di sebabkan kesibukan mengerjakan urusan dunianya. Dan terkadang pula seseorang itu punya masa lapang, namun ia dalam keadaan sakit. Apabila terkumpul pada seseorang waktu lapang dan nikmat sihat, maka sungguh akan datang pula perasaan malas dalam melakukan ketaatan (ke pada Allah). Itulah manusia yang telah terpedaya.


Katanya lagi:
“Dunia adalah ladang beramal untuk dituai hasilnya di akhirat. Sesiapa memanfaatkan waktu lapang dan sihat dalam rangka agenda ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya sesiapa mempergunakan kedua-dua nikmat itu dalam kancah kemaksiatan, dialah yang benar-benar telah tertipu. Sesudah waktu lapang, akan datang waktu yang dipenuhi kesibukan. Demikian pula sesudah masa sihat, akan datang pula kesakitan yang tidak menyenangkan.
Seorang muslim apabila mengharapkan kurniaan Allah sebenarnya ia sebagai pertolongan untuknya bagi mendapatkan akhirat berdasarkan firman Allah: 
“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”.
(al-Qashash: Ayat: 77)

Di antara ciri seorang muslim ialah merebut peluang semasa memiliki kelapangan masa sebelum sibuk dan kesihatan sebelum sakit berdasarkan sabda Nabi S.A.W.

Pesan Nabi SAW: “Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara lain, (iaitu) masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba matimu.”
(Riwayat al-Hakim)

Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: Rasulullah telah memegang dua bahuku sambil bersabda: “Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu seorang dagang (bermusafir) atau melalui  satu jalan menuju ke satu tempat”. Ibn Umar berkata: “Apabila kamu di waktu petang, janganlah tunggu ke waktu pagi, apabila kamu di waktu pagi, janganlah kamu menunggu ke waktu petang. Ambillah peluang semasa kamu sihat sebelum sakit dan semasa kamu hidup sebelum mati”.
(Riwayat Bukhari)


Salam sayang buat semua

^_^

Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.

2 comments:

Unknown said...

Salam perkenalan.tersentuh saya baca entry anda...banyak rupanya kesalahan saya sebagai hamba Allah...terima kasih sebab menyedarkan saya yang selalu alpa..

~rosmiyawati~ said...

Salam perkenalan dari saya. Perlunya kita saling ingat mengingati. Semoga perkongsian saya ini dapat kita manfaatkan bersama :-)

Designed by UMIESUEstudio 2014